Biarpun gagal mencatat kemenangan ke atas ATM, pengendali Kelantan United FC (KUFC), Zahasmi Ismail, percaya mereka masih dalam prestasi terbaik untuk mengatasi skuad Liga Super, Petaling Jaya (PJ) City, dalam aksi persahabatan di Stadium Mini Persada Plus, petang ini.

Keputusan seri 1-1 menentang Kelab M3, ATM, semalam tidak menggugat keyakinan anak buahnya, sebaliknya mereka bertekad untuk memberikan aksi terbaik bagi mengejutkan skuad kendalian K. Devan itu.

"Kami gagal mengalahkan mereka (ATM), namun pemain telah beraksi baik dan menguasai perlawanan sehingga meletakkan tuan rumah berada dalam tekanan.

"Jaringan awal tuan rumah seawal minit kesembilan menyebabkan pemain sedikit tersentak, namun kembali menyusun permainan untuk mencari gol penyamaan.

"Alhamdulillah, jaringan penalti penyerang import, Selwan Al Jaberi, memberikan sedikit kelegaan dan kami terus menguasai permainan.

"Aksi sukar menentang PJ City selepas ini akan digunakan sepenuhnya untuk memilih kesebelasan utama bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim ini " katanya.

Zahasmi, yang membawa KUFC merangkul kejuaraan Liga-M3 musim lalu, mengakui akan menurunkan kesebelasan terbaik bagi menyaingi kekuatan PJ City.

"Saya akan turunkan skuad terbaik untuk mencari kesebelasan utama. Mungkin akan gunakan 15 pemain sahaja, termasuk simpanan, bagi membiasakan diri dengan perlawanan sebenar," tambahnya.

Kredit Foto: KUFC



Editor: Muzaffar Musa