Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mahu pemainnya supaya bangkit menewaskan Pulau Pinang dalam pertemuan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad lV, malam esok.

Yusri berkata pasukannya tidak boleh lagi tewas dalam baki lapan perlawanan liga bagi menghitung nasib dalam saingan liga terbabit musim depan berikutan ketika ini berada di tangga tercorot dalam zon penyingkiran ke Liga Divisyen Tiga (M3).

"Kami perlu akui masa (perlawanan) semakin singkat kepada pasukan, pemain tidak boleh bermain tanpa keyakinan untuk bangkit, tanpa keyakinan mereka akan berterusan melakukan kesalahan sekali gus dihukum pasukan lawan.

"Pemain perlu tampil dengan sikap positif jika tidak mahu kecewa kekal di tangga tercorot liga. Saya tidak mahu pemain tampil seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selepas sembilan perlawanan, Kelantan ketika ini berada di tangga tercorot liga dengan empat mata selepas hanya memperoleh satu kemenangan (dipotong mata), empat seri dan empat kekalahan.

Beliau berkata pemainnya perlu memberikan lebih tumpuan kepada perlawanan itu dalam usaha memperoleh mata di halaman sendiri.

"Kami perlu bermain secara agresif ketika ini kerana pasukan dalam situasi tertekan setelah gagal mencatat kemenangan di laman sendiri dalam perlawanan sebelum ini.

“Kami belum ada kemenangan, terutama di tempat sendiri. Ia memberikan masalah besar kerana penyokong mahukan pasukan beraksi dengan baik dan meraih kemenangan," katanya.

Katanya, pasukannya sedikit lega apabila dua tonggak utama, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Mohd Azwan Aripin, selesai menjalani penggantungan untuk membolehkan mereka diturunkan esok.

“Kami masih gagal menggunakan khidmat Nik Azli Nik Alias dan Cassio de Jesus kerana mereka masih mengalami kecederaan.

"Namun, dengan kemasukan semula Mohd Azwan, pasti ada rombakan di bahagian pertahanan dan hanya pemain terbaik akan disenaraikan dalam kesebelasan utama,” katanya

-- BERNAMA