Semua pemain Sabah diberi amaran supaya meningkatkan prestasi jika tidak mahu kehilangan tempat dalam pasukan.

Pengarah Sukan, Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Adlane Messelem, berkata pemain yang masih tidak menunjukkan peningkatan prestasi mungkin diganti dengan pemain lain sama ada daripada skuad bawah 21 tahun (Piala Presiden) atau pasukan bawah 19 tahun (Piala Belia) negeri itu.

Messelem, yang juga pengurus Sang Badak, berkata demikian ketika diminta mengulas kekalahan 1-3 pasukannya kepada skuad Piala Presiden dalam aksi persahabatan di Stadium Likas, baru-baru ini.

"Kami sebenarnya tidak terkejut dengan keputusan itu. Bagi saya, perlawanan itu satu situasi menang-menang. Jika kami menang, ia mengembalikan keyakinan kami.

"Jika kami kalah pula, sekurang-kurangnya pemain senior yang ada sekarang mula memahami apa yang diperkatakan sebelum ini, iaitu pintu untuk pemain bawah 21 tahun akan dibuka bagi menggantikan mereka yang tidak mempamerkan aksi baik," katanya.

Messelem berkata, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil pemain daripada skuad junior bagi memajukan pasukan utama.

Bagaimanapun, katanya, ia perlu dipertimbangkan dengan sewajarnya kerana langkah itu mungkin memberi kesan tidak baik kepada pengurusan pasukan muda Sabah yang pasti tidak mahu kehilangan pemain terbaik mereka.

Bagaimanapun, jurulatih dari Perancis itu berpendapat sudah tiba masanya kesemua tiga pasukan, iaitu skuad senior, bawah 21 tahun dan bawah 19 tahun Sabah bersatu serta bekerjasama sebagai satu kelab demi kebaikan bola sepak negeri itu.

"Kami perlu berfikir sebagai satu kelab. Saya juga telah memaklumkan kepada pengendali skuad bawah 21 tahun bahawa mulai sekarang, saya sebagai Pengarah Sukan mahu SAFA mula berfikir sebagai satu kelab dan bukannya sebagai tiga pasukan berbeza.

"Dalam erti kata lain, kesemua pemain adalah milik kelab dan bukannya milik pasukan. Ia mungkin satu mentaliti berbeza berbanding sebelum ini tapi bagi saya, inilah yang terbaik.

"Setiap pemain perlu bersedia untuk bermain dalam skuad utama dan jika tindakan itu memberi kesan kepada keputusan dua skuad junior, Saya akan membantu mereka bagi mengatasi kelemahan yang timbul berikutan pemain mereka diserapkan ke dalam skuad senior," katanya.

Messelem berkata kejayaan sesebuah kelab bukanlah hanya memfokus untuk memenangi trofi tetapi juga seramai mana pemain junior yang diserapkan serta mencipta kejayaan bersama skuad senior.

"Saya lebih rela melihat mereka tidak memenangi sesuatu perlawanan tetapi pada akhirnya sejumlah besar diserapkan ke dalam pasukan profesional Sabah.

"Ia lebih baik daripada muncul juara tetapi pada penghujung tahun tiada seorang pun yang 'dinaikkan pangkat' untuk bersama skuad utama," katanya.