Tiket palsu perlawanan telah dikesan penggunaannya di Stadium Likas, Kota Kinabalu, susulan tertangkapnya seorang lelaki dalam aksi Liga Perdana di antara Sabah dan Sarawak, Sabtu lalu.

Difahamkan, tiket terbabit dikesan palsu selepas pemeriksaan teliti oleh pengawal salah satu pintu masuk di stadium berkenaan.

Selain itu, tiket yang digunakan lelaki terbabit hampir sama dengan yang asli, namun kepalsuannya dikesan berdasarkan cop rasmi Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) yang ada pada tiket berkenaan.

Timbalan Presiden 2, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Lawrence Gimbang, ketika dihubungi menjelaskan pihaknya akan mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu, seterusnya mengeluarkan kenyataan pada Rabu.

Dalam perlawanan pada Sabtu lalu, seramai hampir 10,000 penyokong membanjiri Stadium Likas dan ia adalah kehadiran paling ramai dicatatkan pada musim ini.

Jumlah itu dijangka meningkat dalam aksi pusingan kedua Piala FA bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu ini.