Persiapan kem Terengganu FC (TFC) bertemu Negeri Sembilan, malam ini, dikejutkan dengan berita kematian penjaga golnya, Mohd Suffian Rahman, akibat masalah jantung.

Pemain berusia 41 tahun kelahiran Melaka itu dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus, jam 1 petang tadi.

Awal bulan ini, Allahyarham disahkan mengalami serangan jantung dan selepas itu keadaannya berada dalam keadaan stabil.

Setakat ini, difahamkan urusan pengebumian akan dijalankan selepas solat Asar.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Allahyarham bersama Terengganu adalah muncul naib juara Liga Perdana pada 2017 serta finalis Piala Malaysia musim lalu.