Selepas berehat panjang, Sabah kini kembali fokus bagi menghadapi baki saingan Liga Perdana yang akan bersambung semula penghujung minggu ini.

Skuad Tambadau itu juga bertekad untuk terus memberi saingan bagi memburu kejuaraan walaupun menyedari saingan kini semakin sengit.

Pengurusnya, Henry Soimpon, berkata, Sabah kini berada di landasan terbaik sebagai pencabar utama kedudukan teratas dan mereka perlu mengekalkan rentak baik mereka bagi memastikan takhta liga menjadi milik mereka.

"Saya harap tempoh rehat yang panjang sebelum ini tidak menjejaskan momentum pemain kerana cabaran yang bakal dihadapi semakin sengit.

"Kami kini di landasan terbaik sebagai pencabar utama kedudukan teratas dan untuk kekal di kedudukan itu, kami perlu teruskan rentak baik sebelum ini," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Skuad kendalian Jelius Ating itu kini berada di kedudukan ketiga liga dengan 25 mata dan hanya ketinggalan satu mata di belakang dua pasukan di atas, iaitu Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan UiTM FC.

Bagaimanapun, Sabah kini masih memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan berbanding dua pasukan berkenaan.

Mengekori rapat di belakang Tambadau ialah Terengganu FC II (TFC II) yang telah mengumpul 23 mata di tanggga keempat manakala Negeri Sembilan yang akan menjadi lawan Sabah di Stadium Likas, Sabtu ini, di kedudukan kelima dengan 19 mata.

"Empat pasukan teratas hanya dijarakkan satu dan dua mata dan kami perlu bersedia sepenuhnya bagi memastikan pasukan terus dapat memberikan yang terbaik," tambah Jelius.

"Selepas berehat panjang, saya harap pemain yang mengalami kecederaan dan masalah kecergasan akan berada di tahap terbaik menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan, Sabtu ini."