SABAH 3 TFC II 1

Sabah mencatat kemenangan pertama mereka dalam saingan Liga Perdana 2019 selepas menundukkan Terengganu FC II (TFCII) di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.


Bagaimanapun, skuad Tambadau itu terlebih dulu ketinggalan hasil jaringan Mohd Ramzi Sufian pada minit ke-39 setelah menyempurnakan hantaran Mohd Ridzuan Mohd Razali bagi menjadikan kedudukan 1-0 dan kedudukan itu kekal sehinggat tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila pertahanan import mereka, Park Taesu, berjaya menjaringkan gol pada minit ke-50 selepas satu keadaan kelam-kabut di dalam kotak penalti bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Luka Milunovic kemudian menggegarkan jaring lawan pada minit ke-60, namun gol itu tidak dikira kerana pengadil mendapati pemain tengah itu lebih dulu mengasari pertahanan lawan.

Bagaimanapun, pemain itu berjaya menebus kekecewaannya apabila meledak gol pada minit ke-64 menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 25 meter di luar kotak penalti bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Pemain gantian, Ricco Nigel Milus, kemudian sekali lagi menceriakan lebih 2,000 penyokong tuan rumah apabila menyempurnakan hantaran Milunovic pada minit ke-73 bagi menjadikan kedudukan 3-1 dan ia kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.


Keputusan lain:

Liga Super:
KEDAH 4 FELDA UNITED 0
PKNP FC 2 PETALING JAYA CITY FC 3
MELAKA 1 PAHANG 1

Liga Perdana:
SELANGOR UNITED 3 SARAWAK 2
PULAU PINANG 1 PDRM FA 0