PDRM 2 UKM 1

PDRM FA menyasarkan untuk mengekalkan kedudukan dalam kelompok lima pasukan terbaik selepas pusingan pertama Liga Perdana 2018 berakhir.


Penolong jurulatih PDRM, Fauzi Pilus, menjelaskan ia penting bagi mencerahkan peluang skuad The Cops’ untuk mara ke saingan Piala Malaysia musim ini.

“Kami akan membuat percaturan dalam Piala Malaysia terlebih dahulu. Pada ketika ini, kami sudah berada di kedudukan selesa untuk layak ke Piala Malaysia.

“Selepas itu, barulah kami akan memberi fokus kepada baki saingan Liga Perdana bagi mencerahkan peluang melayakkan diri ke Liga Super pada tahun depan,” kata Fauzi.

Terdahulu, PDRM bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan UKM FC 2-1 dalam aksi liga di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, hari ini.

UKM FC mendahului akibat kesilapan pemain PDRM, Muhammad Hariz Irffan Mohd Nazri, pada penghujung babak pertama sebelum PDRM bangkit dengan dua jaringan menerusi penyerang import dari Korea Selatan, Sim Woon Sub, dan pemain gantian, Mohamad Nabil Ahmad Latpi, masing-masing pada minit ke-89 dan masa kecederaan.

Dalam masa sama, ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin, kecewa dengan kegagalan pemainnya mempertahankan kelebihan satu jaringan sambil mengakui kehilangan pemain pertahanan, Muhammad Aliff Jamaluddin, yang dibuang padang pada minit ke-66 menjejaskan rentak permainan pasukannya.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan membuat perubahan besar-besaran terhadap barisan pemain menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.

“Kami akan bawa masuk dua pemain import dan tiga pemain tempatan untuk menggantikan pemain sedia ada di posisi penjaga gol, bahagian tengah dan penyerang import,” ujar Sulaiman.

-- BERNAMA