Di sebalik nama-nama pemain import yang menghiasi kalendar pemain terbaik bulanan Liga Perdana pada Februari 2017, terselit nama pemain tempatan, Mohd Sharel Fikri (Eqy), dari PKNP FC.

Pastinya pencalonan Eqy dilihat sebagai tanda aras dan menunjukkan pemain tempatan masih lagi relevan dan mempunyai kualiti setanding dengan pemain-pemain import.

Pemain muda ini telah membantu pasukannya menang tiga perlawanan dan seri sekali dengan menyumbat tiga gol dalam bulan Februari.

"Masih lagi terkejut. Saya langsung tidak jangka akan dicalonkan. Tapi saya yakin pencalonan saya ini adalah hasil pertolongan rakan sepasukan. Mustahil saya dapat
mempamerkan permainan bermutu jika tidak ada sokongan pasukan," ujar Eqy.

Perjalanan karier bola sepak Eqy tidak semudah yang disangka. Bakatnya dihidu pada 2013 dan setahun kemudian, Eqy berjaya membantu Perak memenangi Piala Presiden dan meraih emas dalam Sukma 2014.

Kemudian, dia dipanggil menyarung jersi kebangsaan bawah 21 tahun, namun digugurkan apabila dikesan mempunyai masalah jantung.

"Waktu itu saya sungguh sedih. Saya terus pulang ke rumah dan berdiam diri selama tiga bulan. Pihak pengurusan (PAFA) ketika itu menawarkan ujian (kesihatan) sekali lagi.

"Doktor mengesahkan saya masih boleh bermain.

"Ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim, kemudian menawarkan saya berkhidmat bersama PKNP," katanya lagi.

Kata Abu Bakar pula, "Dia ini tidak berkira. Dalam latihan datang awal dan balik lewat. Sesungguhnya saya lihat ada keistimewaan dalam dirinya. Oleh itu, saya berharap gelaran pemain terbaik bulan Februari miliknya. Undilah Sharel Fikri".

Berikut lima calon pemain terbaik Liga Perdana bagi bulan Februari 2017

1.Dao Bakary (PDRM FA)
2.Lutfulla Turaev (Terengganu FA)
3.Dimitri Bodric (MISC-MIFA)
4.Shahrel Fikri (PKNP FC)
5.Bruno Suzuki (Negeri Sembilan FA)