Sathiananthan belum puas hati aksi The Fighters

By Tengku Danish Bahri 11 April 2018 259
Sathiananthan belum puas hati aksi The Fighters
Kemenangan keenam berturut-turut belum mampu menghadirkan senyuman kepada pengendali Felda United, B. Sathiananthan, walaupun menang 2-0 ke atas Terengganu FC (TFC) II di Kuala Terengganu, malam tadi.

Dalam sidang medianya, bekas jurulatih negara itu jelas berang dengan ketumpulan serangan selain kegagalan Felda mengawal rentak, sebaliknya membenarkan pasukan lawan untuk bangkit.

Sambil menyifatkan mereka beraksi secara individu, Sathiananthan menyelar sikap sesetengah pemain yang tidak mempamerkan kombinasi seperti yang diharapkan.

“Penyerang import kami sukar melepasi benteng lawan yang hanya membariskan pemain tempatan.

“Malah, ada pemain yang tidak menunjukkan nilai sebenar dan tidak beraksi pada kemampuan terbaik mereka,” ujarnya.

Perlawanan malam tadi menyaksikan The Fighters dihidangkan dengan peluang seawal minit keenam menerusi tandukan Gilberto Fortunato yang tepat ke dakapan Mohd Suhaimi Husin.

TFC II kemudian hadir dengan dua rembatan Akanni Sunday Wasiu (m-11) serta Mohammad Rahmat Makasuf (m-15) yang ditepis Mohd Farizal Harun.

Pemain sayap Felda, Iain Ramsay, hampir memecahkan kebuntuan pada minit ke-24, namun sepakan percumanya sekadar mengenai tiang gol.

Anak-anak buah Sathiananthan berjaya membawa satu gol ke bilik persalinan apabila kapten, Shukor Adan, mudah menyambar sepakan penjuru Wan Zack Haikal Wan Nor pada masa kecederaan.

Selepas rehat Felda menggandakan serangan dengan percubaan Gilberto dan Curran Lawrance digagalkan Mohd Suhaimi pada minit ke-48 sebelum tandukan Thiago Augusto dua minit kemudian menggegar palang.

Pengadil perlawanan, J. Suresh, memberikan sepakan penalti kepada pelawat pada minit ke-63 apabila bola terkena tangan Arif Fadzillah Abu Bakar yang disempurnakan Thiago, sekali gus menjadikan kedudukan 2-0.

Peluang terbaik tuan rumah merapatkan kedudukan hadir pada minit ke-73 melalui Akanni Sunday yang menggelecek Mohd Farizal tetapi penyudahnya tinggi melepasi sasaran.

Tiga mata diraih menyaksikan Felda unggul di tangga teratas dengan 18 mata daripada enam perlawanan manakala TFC yang mengumpul empat mata jatuh ke tangga ke-10.
 

About Author

Tengku Danish Bahri

Comment