Pengarah Sukan, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Adlane Messelem, percaya skuad Badak memerlukan kestabilan sekiranya mahu kembali menjadi pasukan digeruni di Malaysia.

Katanya, terlalu banyak perubahan pada setiap musim menjadikan pasukan itu ketinggalan dari segi perkembangan serta 'tersekat' untuk menjadi satu skuad yang kuat.

Sehubungan itu, jurulatih dari Perancis itu bertekad untuk menyelesaikan masalah terbabit serta berharap akan mampu membentuk sebuah pasukan yang boleh bertahan lebih dari semusim dengan mengembangkan bakat pemain-pemain tempatan.

"Kami akan berusaha seberapa yang mampu untuk membentuk sebuah pasukan yang dibarisi pemain tempatan Sabah kerana kami mahu pasukan ini bertahan lebih dari setahun.

"Saya fikir apa yang kurang dalam pasukan Sabah sekarang ialah kestabilan. Perubahan yang terlalu banyak pada setiap musim bukanlah jalan penyelesaiannya kerana setakat ini, ia tidak berhasil.

"Sekiranya kami boleh membentuk sebuah pasukan yang boleh bertahan sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun, pastinya kami akan mendapat manfaat daripada itu," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Bagaimanapun, Messelem menegaskan hanya dengan kerjasama semua pihak yang mampu merealisasikan hasratnya itu.

"Sekarang masanya untuk kami memanggil semua warga Sabah untuk bersatu. Pemain, penyokong serta semua yang terbabit kerana semua kita mahu melihat pasuakan ini maju," katanya.

Setakat ini, pasukan yang terkenal dengan jolokan Sabah Rhinos itu dibarisi hampir kesemua pemain tempatan Sabah kecuali penjaga gol, Rozaimie Rohim, serta empat pemain import, iaitu Igor Cerina, Jonathan Behe, Masaya Jitozono dan Sofiane Choubani.

"Kami juga masih mencari dua lagi pemain, iaitu untuk posisi pertahanan tengah dan penyerang bagi melengkapkan barisan 25 pemain. Kami masih ada pilihan dan tidak perlu terburu-buru."

Sementara itu, beliau berkata Sang Badak akan diuji tiga pasukan, iaitu pasukan Penjara pada malam esok di Kota Kinabalu, skuad Sarawak di Kuching pada Ahad ini serta PKNS di Stadium Likas pada 14 Januari.

Tiga perlawanan itu adalah sebahagian persiapan Sabah sebelum menghadapi perlawanan sebenar Liga Perdana 2017 pada 20 Januari.