Sabah bakal turun menentang MISC-MIFA di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok tanpa tiga tonggak utama.

Tiga pemain itu ialah dua pertahanan, Maffry Balang dan Jenius Karib, yang masih belum pulih daripada kecederaan manakala pemain tengah, Maxsius Musa, terpaksa diketepikan kerana menjalani penggantungan perlawanan.

Pengendali Sabah, Jelius Ating, berkata seorang lagi, iaitu pemain simpanan mereka, Justin Saaman, turut tidak dapat beraksi malam esok.

"Bagaimanapun, kami memiliki beberapa pemain simpanan untuk menggantikan tempat Maffry, Jenius dan Maxsius kecuali Justin yang turut cedera," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Jelius berkata mereka tidak memandang mudah cabaran MISC-MIFA walaupun memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Katanya, pasukan lawan itu menunjukkan peningkatan mendadak sejak beberapa perlawanan lalu, malah kini menghuni tangga kedua liga.

"Memang kita akui prestasi MISC-MIFA semakin baik dalam beberapa perlawanan lalu dan ia mungkin disebabkan pertukaran beberapa pemain oleh jurulatihnya ketika jendela perpindahan pemain dibuka, bulan lalu.

"Bagaimanapun, kami tetap bertekad untuk menewaskan mereka, lebih-lebih lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.

"Kemenangan malam esok juga penting bagi memastikan kami terus berada di landasan betul untuk merebut tempat ke Liga Super musim depan," tambahnya.

Jelius dijangka menurunkan Rozaimie Rohim selaku benteng terakhir pasukan malam esok dengan dibantu empat pertahanan, iaitu ketua pasukan, Rawilson Batul, Francis Kasonde, Randy Baruh dan Dendy Lowa.

Pemain import dari Jepun, Keisuke Ogawa, pula dijangka akan mengemudi bahagian tengah dengan dibantu Sabri Sahar, Mohd Azzizan Nordin, serta sama ada Ummareng Bacok, Rahman Shah Marajeh atau Hamran Peter.

Di bahagian serangan pula, dua penyerang import, iaitu Hector Omar Ramos dan Rodoljub Paunovic, sekali lagi dijangka menggalas tugas sebagai pemburu jaringan bagi Sabah.