Perlawanan Piala FA menentang UKM FC di Stadium Likas, malam esok, boleh diibaratkan antara perlawanan 'hidup atau mati' buat Sang Badak.

Ia berikutan prestasi buruk mereka dalam saingan liga setakat ini, terutama selepas dibelasah 2-5 oleh ATM di hadapan penyokong sendiri, Jumaat lalu.

Sudah pasti perlawanan esok bakal dijadikan pentas buat pemain untuk mengembalikan semangat mereka selain cuba menarik semula keyakinan penyokong setia mereka.

"Pasukan perlu fokus untuk perlawanan seterusnya. Ia datang lebih awal, namun saya fikir ia sesuatu yang baik juga bagi kami.

"Kami akan membuat perubahan. Bagi saya, ia perlu selepas kami kalah teruk. Ia bukan untuk menghukum pemain tetapi sekurang-kurangnya kami bersikap adil kepada semua," kata pengurus pasukan Sabah, Adlane Messelem, di Kota Kinabalu, semalam.

Sementara itu, dia berkata kelemahan mental adalah faktor pasukan itu gagal mencatat keputusan baik dalam saingan liga setakat ini.

Tidak dinafikan, katanya, pasukan itu akan berdepan beberapa kesukaran dalam saingan musim ini, tetapi mengutip hanyatiga mata daripada empat perlawanan adalah sesuatu di luar jangkaannya.

"Jadi sekarang, saya mahu semua pemain bertanya kepada diri mereka sendiri, di mana kedudukan yang mereka mahu pada akhir musim nanti.

"Jika kami tidak dapat naik ke Liga Super pun, sekurang-kurangnya kami berada dalam kedudukan lima teratas dalam liga dan mungkin beraksi dalam Piala Malaysia. Kami juga perlu berusaha pergi sejauh mungkin dalam Piala FA," katanya.

Sang Badak memulakan saingan liga dengan dua kekalahan berturut, iaitu tewas kepada Negeri Sembilan 0-3 dan Kuala Lumpur 1-2.

Skuad kendalian Steve Vilmiaire itu kemudian bangkit dalam perlawanan ketiga apabila menundukkan Perlis 3-1, bagaimanapun keadaan kembali parah apabila mereka dimalukan ATM 2-5, di Stadium Likas, Jumaat lalu.