Sabah sekali lagi mengharapkan ketajaman penyudah gandingan penyerang import mereka, Hector Omar Ramos serta Rodoljub Paunovic, apabila melayani kunjungan Pulau Pinang di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.

Pengendalinya, Jelius Ating, berkata gandingan dua pemain itu sudah mula menunjukkan peningkatan dalam setiap sesi latihan dan mereka juga telah membuktikan apabila masing-masing meledak gol ketika bertemu Terengganu FC II (TFC II) di gelanggang lawan tempoh hari.

"Memang kami harapkan gandingan mereka akan terus menjadi pada musim ini. Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah kemenangan, tidak kisahlah siapa pun yang menjaringkan gol.

"Selain itu, kami juga perlu mengelak daripada dibolosi dengan mudah, kami mungkin mampu menjaringkan gol, namun sekiranya tidak berhati-hati, ia boleh membawa padah," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius tidak akan melakukan banyak perubahan terhadap kesebelasan utamanya sebelum ini kerana tiga tonggak yang tidak beraksi akibat kecederaan dalam perlawanan lalu masih belum dapat diturunkan.

"(Keisuke) Ogawa dan Jenius (Karib) telah kembali menjalani latihan bersama pasukan, namun mereka belum cergas sepenuhnya untuk aksi esok. Seorang lagi pemain, iaitu Maffry Balang, juga masih belum pulih.

"Selain itu, kedudukan Sabri Sahar yang mengalami kecederaan dalam perlawanan lalu juga masih belum dapat ditentukan, kami akan lihat nanti dan sekiranya dia tidak cergas, kami masih ada pemain lain untuk menggantikan tempatnya," katanya.

Jelius dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim sebagai penjaga gol utama untuk aksi malam esok dengan dibantu empat pertahanan, iaitu Rawilson Batuil, Francis Kasonde, Dendy Lowa serta Randy Baruh yang akan kembali beraksi selepas menjalani penggantungan perlawanan sebelum ini.

Pemain muda, Hamran Peter, sekali lagi dijangka diberi peluang beraksi di bahagian tengah bersama-sama dengan Mohd Azzizan Nordin,dan Maxsius Musa manakala sekiranya Sabri tidak dapat beraksi, tempatnya akan diganti oleh Ricco Nigel Milus.

Sementara itu, Ramos dan Paunovic dijangka kekal sebagai pemburu jaringan buat Sang Badak.