Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) perlu merancang pelbagai usaha bagi memperkukuhkan kewangan mereka, bukan saja dari aspek pengurusan pasukan, tetapi juga merangkumi kesemua pentadbiran persatuan berkenaan.

Sehubungan itu, calon presiden SAFA, Alijus Sipil, berkata beliau akan sedaya upaya mengatasi masalah kekurangan dana yang dihadapi persatuan itu, termasuklah mewujudkan satu koperasi.

"Dari segi pengurusan pasukan, kita mungkin boleh mendapatkan tajaan tetapi di bahagian pengurusan, kita seharusnya mempunyai sesuatu yang boleh menjana kewangan kita sendiri termasuklah mewujudkan koperasi untuk kita membayar gaji kakitangan, pengurusan pejabat, padang latihan dan sebagainya.
Rancang usaha perkukuh kewangan SAFA - Alijus

"Mudah-mudahan dan Insyaallah, sekiranya saya terpilih sebagai presiden, salah satu usaha yang akan saya laksanakan ialah di samping mencari dana dari pihak kerajaan, kita juga akan cuba mendapatkan tajaan daripada pihak swasta dan yang ketiga, mesti ada satu usaha untuk mewujudkan sumber kewangan kita sendiri seperti menubuhkan koperasi," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Terdahulu, Alijus yang sebelum ini merupakan setiausaha agung SAFA mengumumkan akan bertanding untuk jawatan presiden SAFA pada kongres tahunan persatuan berkenaan yang akan berlangsung, di sini, pada 25 Ogos depan.

"Sebagai rekod, saya telah meletak jawatan (sebagai setiausaha agung SAFA) kerana saya telah diberi mandat oleh SAFA gabungan iaitu mendapat pencalonan untuk dua jawatan tertinggi persatuan ini.

"Dengan mandat yang diberikan ini, saya rasa tidak boleh menghampakan SAFA gabungan, pada awalnya saya memikirkan juga mana satu jawatan yang saya akan tandingi tetapi akhirnya saya telah membuat keputusan untuk bertanding jawatan tertinggi," katanya.

Beliau berkata, dengan pengalaman hampir 10 tahun sebagai setiausaha agung SAFA serta pernah memegang jawatan sebagai ahli majlis tertinggi (AMT) dan beberapa lagi jawatan lain dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini, Alijus yakin dia akan mampu melaksanakan tugas sebagai presiden dengan baik sekiranya terpilih.

Katanya, antara perkara yang paling penting bakal dilaksanakan beliau juga adalah bagi mencari dana kewangan untuk pentadbiran pasukan bola sepak negeri, terutamanya skuad senior Sabah.

"Seterusnya, kita juga perlu memikirkan dana kawangan untuk pasukan Piala Presiden dan Piala Belia selain pasukan-pasukan lain termasuklah futsal lelaki serta wanita.

"Dari segi pembangunan pula, selain Piala Ketua Menteri, kita bercadang untuk mengadakan pertandingan bawah 16 serta 18 tahun dan untuk usaha ini, kita akan cuba menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah kerana ramai pemain kita ini masih bersekolah," katanya.

Pada kongres tahunan SAFA nanti, Alijus dijangka menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan pemangku presiden persatuan berkenaan ketika ini, Datuk Yusoff Kasim.

Sebelum ini, beberapa lagi nama lain turut dicalonkan untuk jawatan tertinggi SAFA itu termasuklah ketua menteri, Datuk Seri Shafie Apdal dan dua ahli perniagaan iaitu Tan Sri TC Goh dan Hamid Apdal.

Bagaimanapun, Shafie dikatakan menolak pencalonan itu kerana kesibukan tugas sebagai ketua menteri, begitu juga TC Goh yang turut menarik diri manakala Hamid Apdal pula dikatakan hanya mahu bertanding jawatan timbalan presiden.