Bekas kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi atau Piya, kecewa dengan sikap membisu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berhubung isu tunggakan gajinya yang masih belum dilunaskan.

Piya yang sudah menandatangani kontrak beraksi bersama Perlis dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, berkata tuntutan tunggakan gaji itu dibuat kerana kontraknya bersama TRW sudah berakhir, November lalu.

"Kali terakhir saya menerima pembayaran (separuh gaji) pada April lalu selepas dipinggirkan daripada skuad Kelantan.

"Biarpun KAFA telah menjelaskan nama saya tiada dalam perancangan mereka, namun kontrak yang ditandatangani perlu dihormati.

"Sebagai pemain, saya ingin menuntut hak tersebut.

"Hampir tujuh bulan saya menunggu KAFA untuk membayar gaji sebagaimana yang tertulis dalam kontrak," katanya.

Piya yang juga pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah BolaSepak Kebangsaan (ABK) 2013 berharap kemelut itu dapat berakhir di meja rundingan.

"Hanya sekali mereka (KAFA) memanggil saya untuk berbincang mengenai isu itu.

"Itu yang cukup mengecewakan dan saya berharap kami boleh berbincang dengan lebih baik selepas ini," katanya.

Utuk rekod, kelibat Piya tidak kelihatan dalam skuad TRW sekitar April lalu apabila bekas pengendali ketika itu, Fajer Ibrahim, melakukan transformasi besar-besaran dengan membawa masuk ramai pemain Piala Presiden beraksi dalam skuad utama.