Perlawanan pertama Jelius Ating selaku ketua jurulatih Sang Badak, kelmarin, jelas menunjukkan sedikit perubahan dari segi corak permainan dan semangat pemain berbanding sebelum ini.

Walaupun tewas tipis 0-1 kepada Negeri Sembilan (NS) dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Likas itu, Sabah ternyata mampu mengimbangi kekuatan NS yang boleh dikatakan pasukan terkuat dalam Liga Perdana setakat ini.

Skuad kendalian Asri Ninggal itu kini bukan saja berada di kedudukan teratas Liga Perdana, malah menjadi satu-satunya pasukan yang belum pernah tewas selepas lapan perlawanan.

Pengurus Sabah, Datuk Juil Nuatim, berkata beliau tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan pemainnya walaupun gagal mencatat kemenangan.

Katanya, pemain-pemain menunjukkan peningkatan dari segi corak permainan dan ia juga kelihatan lebih meyakinkan di bawah kendalian Jelius.

"Secara keseluruhan, saya puas hati kerana pemain-pemain menunjukkan semangat juang tinggi, kami mampu mengimbangi kekuatan NS, cuma nasib tidak menyebelahi.

"Kami memang tahu kualiti dan kekuatan NS, terutama pemain import mereka, tapi jika kita lihat aksi malam ini (kelmarin), (kekuatan) kita juga tidak jauh dengan NS walaupun mereka adalah pendahulu liga dengan rekod tanpa kalah," katanya.

Perlawanan itu menyaksikan NS membawa bekalan gol dari tempat lawan untuk aksi suku akhir kedua di Paroi nanti hasil jaringan tunggal penyerang import mereka, Marko Simic.

Sementara itu, Juil berkata walaupun sukar, beliau tetap percaya Sabah masih memiliki peluang untuk suku akhir kedua di tempat lawan nanti.

"Ia memang sukar tapi ini tidak bermakna kami akan mengalah, kami akan bertemu pasukan terkuat dalam liga dan ia di gelanggang lawan., Memang di atas kertas kami tidak memiliki peluang.

"Bagaimanapun, dalam bola sepak apa saja boleh berlaku, saya cuma harap pemain akan berjuang habis-habisan, keputusan adalah perkara lain...tiada apa yang perlu ditakutkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin Jelius yang baru mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih kira-kira dua minggu lalu akan mampu membantu pasukan berkenaan keluar daripada belenggu kekalahan.

"Ini (perlawanan bertemu NS) adalah yang pertama baginya dan ia tidaklah seteruk mana, saya yakin pasukan ini akan terus meningkat dengan corak latihan serta permainan yang diterapkan Jelius," katanya.