Selepas kapten Sabah, Rawilson Batuil, dipanggil menyertai kem latihan pasukan Harimau Malaya, seorang lagi pemain pasukan itu, Evan Wensley Wenceslaus, turut dipanggil menyertai pasukan B-21 kebangsaan.

Pertahanan berusia 21 tahun itu diserapkan ke dalam skuad utama Sang Badak musim ini oleh pengendalinya, Jelius Ating, namun kini beraksi bersama pasukan Piala Presiden.

"Mungkin Evan sukar untuk masuk dalam kesebelasan utama kami tetapi saya tidak mahu dia hanya menjadi pemain simpanan.

"Oleh sebab itu, saya beri dia peluang beraksi bersama skuad Piala Presiden bagi memastikan prestasinya tidak terjejas serta terus meningkat.

"Dia (Evan) antara lima pemain pasukan senior yang beraksi untuk pasukan muda dan sebenarnya ada dua kebaikan apabila kita berbuat demikian.

"Pertama untuk pemain itu sendiri dan kedua, untuk pasukan Piala Presiden kami...hasilnya, Evan telah dipanggil menyertai kem latihan skuad B-21 kebangsaan," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Sehubungan itu, Jelius berharap Evan akan mengambil peluang itu sebaik mungkin dan menganggap panggilan menyertai skuad kebangsaan sebagai batu loncatan dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.

"Evan perlu terus berusaha dan bersungguh-sungguh untuk membuktikan dia layak menyarung jersi Malaysia, kita juga harap ada ramai lagi pemain mengikut jejak Rawilson dan Evan. Ia tidak mustahil jika mereka terus bekerja keras," katanya.