Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) boleh menarik nafas lega apabila sebahagian beban tunggakan gaji bekas pemain dan jurulatih pasukan itu telah dilangsaikan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melalui pemotongan bayaran hak penyiaran musim ini.

Presiden KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, berkata sebanyak RM500,000 yang diterima daripada MFL pada 15 Julai lalu telah digunakan untuk membayar hutang dan pihaknya menanti pembayaran fasa kedua hak penyiaran.

Melalui kenyataan media oleh MFL hari ini, Wan Abdul Rahim berkata baki tunggakan selebihnya akan dibayar oleh MQ Technology Berhad berdasarkan pakej kewangan yang telah dipersetujui bersama KAFA.

“Sebahagian daripada isu ini sudah ada cara penyelesaian dan ia akan dikemukakan oleh FAM pada pertengahan September ini bagi permohonan pelesenan kelab.

“KAFA mahu ucapkan terima kasih kepada MFL yang sanggup membantu KAFA memandangkan banyak kes tunggakan gaji ini sudah melibatkan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan sudah tidak ada peluang lagi bagi kami untuk membuat sebarang rayuan,” katanya.

Pada 23 Ogos lalu, satu pertemuan di antara KAFA dan MFL telah diadakan bagi membincangkan isu membabitkan pelesenan kelab di mana mulai tahun depan, semua pasukan daripada Liga Perdana diwajibkan mempunyai pelesenan kelab walaupun tidak seketat pasukan yang bersaing dalam Liga Super.

Kelantan, yang berdepan beberapa isu tunggakan gaji, dilihat perlu segera menyelesaikan perkara berkenaan jika tidak mahu mengganggu urusan permohonan pelesenan kelab, terutama daripada aspek pengurusan kewangan.

“Perjumpaan dengan MFL juga membabitkan wakil dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan pandangan yang mendalam mengenai pelesenan kelab memandangkan kami baru sahaja mengambil alih KAFA.

“Kami mempunyai susunan pakej bagi menyelamatkan bola sepak Kelantan dan bertuah kerana adanya perjanjian persefahaman (MOU) dengan MQ Techology, untuk memastikan faktor kewangan Kelantan berjalan lancar pada musim akan datang," katanya.

-- BERNAMA