Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) melantik pengarah sukan persatuan itu, Adlane Messelem, sebagai pengurus baru Sang Badak, musim ini.

Pelantikan Messelem itu dibuat semalam, sehari selepas Presiden SAFA, Datuk Seri Musa Aman, memberi amaran supaya tiada 'pihak luar' menggangu skuad senior Sabah.

Jurulatih berusia 39 tahun dari Perancis itu sebelum ini dibawa masuk oleh SAFA bersama rakan senegaranya, Steve Vilmiaire, bagi membentuk semula skuad Sabah.

Messelem kemudian dilantik menjadi pengarah sukan SAFA manakala Vilmiaire diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih, namun, kedua-duanya saling bekerjasama dalam membentuk pasukan berkenaan.

Ketika ditemui, Messelem berkata dia gembira dengan pelantikan sebagai pengurus pasukan, namun menyifatkan ia hanyalah satu 'status' baru.

"Misi saya sama seperti sebelum ini, iaitu membawa masuk lebih banyak disiplin dan profesionalisme ke dalam persatuan ini (SAFA) serta memastikan kami akan selalu melakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran.

"Saya seorang yang realistik tetapi pada masa sama bercita-cita tinggi, saya mahu membawa pasukan Sabah kembali ke Liga Super secepat mungkin.

"Walaupun secara realistiknya ia memerlukan masa (naik ke Liga Super), namun saya bertekad untuk melakukan apa saja bersama pengendali pasukan, Steve (Vilmiaire), demi mengembalikan zaman kegemilangan pasukan ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, skuad Sabah melengkapkan senarai pemainnya musim ini apabila mengikat bekas pertahanan kebangsaan, Ahmad Azlan Zainal.

Pemain berusia 31 tahun itu, yang kali terakhir beraksi bersama pasukan negara pada tahun 2010, menandatangani kontrak selama setahun dengan SAFA, semalam.

Mengulas kehadiran Ahmad Azlan, Messelem berkata ia satu perkembangan baik buat pasukan kerana dia seorang pemain berpengalaman yang mampu membantu pemain muda.