Jurulatih baru Kuala Lumpur, Fabio Magrao, masih optimis kempen skuad Warga Kota musim ini mampu diselamatkan dengan misi pertamanya adalah melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia biarpun mereka kini di tangga kelapan Liga Perdana.

Bekas pengendali Timor Leste itu diberi kepercayaan menggantikan Wanderley Junior pada awal bulan ini ketika Kuala Lumpur berada dalam keadaan prestasi tidak menentu.

Biarpun ramai melihat dia masih cetek pengalaman, jurulatih muda berusia 39 tahun itu menganggap kekurangan itu bukan halangan utamanya untuk mengendalikan Kuala Lumpur.

Baki tiga perlawanan pusingan pertama dilihat aksi paling kritikal buat Magrao, dengan sembilan mata maksimum perlu diburu sekiranya mahu mendapatkan slot yang ditawarkan dalam Piala Malaysia.

"Kami mempunyai peluang yang baik untuk meraih kemenangan dalam tiga perlawanan ini berdasarkan penilaian saya dalam perlawanan terakhir dan situasi liga ketika ini.

"Sudah pasti kami perlu menghormati lawan.

"Saya tidak boleh katakan kami akan menang perlawanan ini sebelum turun beraksi.

"Kami perlu membuat persediaan rapi dan bersedia dalam sesi latihan.

"Dan apabila tiba perlawanan sebenar, kami sudah bersedia untuk bertemu mana-mana kelab," kata jurulatih dari Brazil itu.

Buat masa ini, Magrao tiada sebarang perancangan untuk merombak pemain, termasuk tonggak import mahupun tempatan.

Dia akan melihat terlebih dahulu sejauh mana prestasi semua pemainnya dalam tempoh sebulan ini sebelum membuat sebarang keputusan.

"Dalam tempoh tiga minggu ini, saya sudah memantau kualiti yang dimiliki anak buah saya selain turut memanggil beberapa pemain dari skuad bawah 21 tahun.

"Saya sudah memantau perlawanan persahabatan terakhir mereka. Mereka layak untuk menyertai kami dan peluang berlatih bersama kami akan memberi lebih banyak pengalaman buat mereka."