PKNP FC belum mahu mengangkat bendera putih, sebaliknya berhasrat untuk terus memberi tekanan ke atas pendahulu Liga Perdana, Kuala Lumpur dan Terengganu.

Kejayaan menewaskan Negeri Sembilan 3-1 di Ipoh malam tadi masih mengekalkan PKNP dalam saingan ketika Liga Perdana hanya berbaki dua perlawanan.

Sebaliknya, Negeri Sembilan harus menyalahkan diri sendiri kerana tewas, yang bermakna perebutan slot automatik ke Liga Super musim hadapan semakin sukar dan hampir boleh dilupakan pasukan Hoben Jang Hoben itu.

Ketua jurulatihnya, Mohd Asri Ninggal, berkata: "Saya kecewa. Kami buang peluang yang ada. Kami tidak boleh hilang mata. Satu situasi yang sangat mengecewakan.

"Saya sebagai jurulatih tidak dapat menerima cara kekalahan malam ini. Bezanya, PKNP terjemahkan peluang manakala kami mempersia-siakannya."

Sementara itu, pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim, menarik nafas lega dengan keputusan itu kerana masih berpeluang memberi tekanan kepada pasukan teratas.

"Malam yang sukar dengan keadaan hujan dan padang yang basah. Kemenangan ke atas Negeri Sembilan melonjakkan pasukan satu tangga ke hadapan dan empat mata di belakang Kuala Lumpur dan Terengganu.

"Harap-harap dalam dua baki perlawanan nanti, kami dapat mencari mata maksimum dan berharap pasukan teratas keciciran mata. Yang lain kami berserah," katanya.

PKNP akan bertemu Kuantan FC dan Terengganu dalam baki dua perlawanan terakhir Liga Perdana.

Ketika ini, Kuala Lumpur dan Terengganu berkongsi 44 mata manakala PKNP mengumpul 40 mata.