SABAH 5 PERLIS 1

Hatrik Lee Gil Hoon dan dua gol Roduljub Paunovic memastikan kemenangan bergaya Sang Badak apabila mudah meratah Perlis 5-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.


Tuan rumah memiliki peluang awal menerusi Paunovic pada minit kelima, bagaimanapun tandukannya hasil hantaran Sabri Sahar sekadar terkena palang.

Beberapa saat selepas itu, pertahanan import Sabah, Francis Kasonde, pula mencemaskan pintu gol Perlis, namun tandukannya hasil satu sepakan sudut diselamatkan pemain lawan di atas garisan gol.

Pada minit ke-15, Perlis pula terlepas peluang baik selepas tandukan ketua pasukan mereka, Makeche Ndumba, dari dalam kotak penalti tidak menepati sasaran walaupun tidak dikawal pertahanan Sabah.

Lima minit kemudian, skuad kendalian Syamsul Mohd Saad itu sekali lagi membahayakan pintu gol tuan rumah menerusi Modibo Konte, namun kali ini penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, bertindak cemerlang menyelamatkan pintu golnya.

Pada minit ke-27, rembatan pemain gantian Sabah, Leopold Alfonso Otong, yang menerima hantaran Jenius Karib di dalam kotak penalti jauh tersasar walaupun dia tidak dikawal ketika itu.

Gol yang dicari Sabah akhirnya terhasil pada minit ke-33 menerusi rembatan Paunovic di dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Gil Hoon bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Pada penghujung babak pertama, hantaran cantik Sabri berjaya ditanduk Paunovic di dalam kotak penalti, namun sedikit tersasar.

Bermula babak kedua, Sabah terus garang memburu jaringan dan hampir memperolehinya menerusi sepakan percuma Sabri, begitu benteng akhir Perlis yang dikawal Mohd Jibrail Kamaron Baharin bertindak cemerlang untuk menyelamatkan keadaan.

Pada minit ke-57, Gil Hoon menjadikan kedudukan 2-0 menerusi sepakan penalti.

Paunovic sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah hasil penyudah baik pada minit ke-61 bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Perlis kemudian cuba bangkit apabila memperolehi jaringan pertama menerusi Ndumba pada minit ke-66 hasil percubaan dari dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Gil Hoon menambah jaringan untuk Sabah pada minit ke-71 hasil gerakan solonya ke dalam kotak penalti sebelum melakukan rembatan cantik menewaskan Mohd Jibrail bagi menjadikan kedudukan 4-1.

Penyerang dari Korea Selatan itu kemudian melengkapkan hatrik apabila meledak gol kelima Sabah pada minit ke-88 bagi menjadikan kedudukan 5-1 dan kedudukan itu kekal sehingga pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yaasin, meniupkan wisel penamat.

Keputusan lain:

MISC-MIFA 1 Terengganu 2

Johor Darul Ta'zim (JDT) II 1 ATM 1

PDRM FA 5 Kuantan FA 3

PKNP FC 3 Negeri Sembilan 1

UiTM FC 1 Kuala Lumpur 2