Hasrat Kuala Lumpur untuk terus menguasai takhta Liga Perdana terlaksana biarpun terpaksa akur menamatkan aksi bertemu UiTM FC dengan satu mata selepas perlawanan berakhir 1-1, malam ini.

Skuad The City Boys kekal di tangga teratas dengan tujuh mata selepas tiga perlawanan dan mereka diekori rapat tiga pencabar terdekat, Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Negeri Sembilan dan Terengganu selepas masing-masing turut merakamkan kemenangan untuk mengumpul enam mata.

Selepas membelasah Perlis 4-1 minggu lalu, JDT II terus garang mencipta kemenangan besar dalam aksi pada sebelah petang tadi dengan menumbangkan ATM FA 5-1.

Gol skuad kendalian Hamzani Omar itu disumbangkan oleh Nicholas Fernandez pada minit ke-28, Gabriel Guerra m-36 dan m-84, Alex Smith (m-51) dan Amer Saidin (m-75).

Sementara itu, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pemain import Sang Penyu dari Uzbekistan, Lutfulla Turaev, memainkan peranan besar dalam kemenangan 2-1 Terengganu ke atas MISC-MIFA dengan meledak dua gol.

Kuantan FA pula mengecapi kemenangan sulung mereka musim ini dengan menundukkan PDRM 3-1.

Bagaimanapun, gawang mereka terlebih dahulu dibolosi lawan sebelum bangkit menjaringkan tiga gol -- penggempur tempatan, Nabilah Khan Razali, muncul wira pasukannya dengan meledak dua gol.

Rekod tanpa kemenangan MISC-MIFA dan Perlis yang tewas 3-1 kepada Sabah di tempat sendiri meletakkan kedua-dua pasukan itu dalam zon penyingkiran Liga Perdana.

KEPUTUSAN:

PERLIS 1 SABAH 3

ATM 1 JOHOR DARUL TA'ZIM II 5

TERENGGANU 2 MISC-MIFA 1

KUANTAN FA 3 PDRM 1

NEGERI SEMBILAN 3 PKNP FC 1

KUALA LUMPUR 1 UiTM FC 1