Kata putus sama ada Kuantan FA kekal berada dalam saingan Liga Perdana atau tidak untuk musim depan akan ditentukan Rabu ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, pasukan itu diberikan tempoh sehingga lusa untuk memberi pengesahan terhadap penyertaan mereka.

Musim ini menyaksikan Kuantan FA terpalit dengan isu tunggakan gaji pemain apabila beberapa pemainnya membuat pendedahan dalam media.

Malah, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) juga sudah pun membawa kes itu kepada Jawatankuasa Status Pemain, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Tarikh akhir asal adalah pada Jumaat lalu. Kami telah melanjutkannya sehingga Rabu ini. Kami harap dapat mendengar daripada mereka. Ia adalah pengesahan yang mudah.

"Apa yang kami mahukan, surat pengesahan daripada mereka. Kami cuba membuatkan ia semudah yang mungkin bagi kami mendapatkan notis awal," kata Kevin.

Dalam pada itu, Kevin mengakui terdapat beberapa kelab dalam Piala FAM yang berminat ke saingan Liga Perdana dan bersedia menggantikan tempat mana-mana pasukan yang menarik diri.

Difahamkan Felcra FC adalah antara pasukan yang menyuarakan minat walaupun mereka gagal ke final Piala FAM.

Namun, Kevin menegaskan ia bukan bidang kuasa FMLLP menentukan pasukan mana daripada Piala FAM untuk ke Liga Perdana.

"Untuk memasuki Liga Perdana adalah pertandingan Piala FAM. Pertandingan itu diuruskan oleh FAM. Kami akan menghubungi FAM berhubung perkara ini, kami tidak boleh membuat keputusan," jelasnya.

Ditubuhkan pada 1970, Kuantan FA berjaya muncul juga Liga FAM pada 2014 selain memiliki reputasi hebat pada era 70-an dengan muncul juara Piala FAM pada 1975 dan 1977.