Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) menggesa Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam, meletak jawatan berikutan isu denda yang dikenakan ke atas persatuan itu.

Presidennya, Datuk Posa Majais, menegaskan hukuman pemotongan geran tahunan ke atas skuad Ngap Sayot itu dan enam pasukan lain seperti tindakan menutup kelemahan badan pentadbir Liga Malaysia itu.

"Kami kesal dengan tindakan Kevin ke atas FAS. Saya agak hairan mengapa perkara sebegini perlu berlaku dan saya menggesa beliau meletak jawatan," kata Posa.

MFL mendenda tujuh pasukan Liga Malaysia, termasuk Sarawak, dengan memotong 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 kerana gagal mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember lalu.

Pasukan yang didenda adalah Kuala Lumpur, Felda United FC dan Melaka yang beraksi dalam Liga Super manakala Kelantan, PDRM, Sarawak dan Pulau Pinang yang bermain dalam Liga Perdana.

Selain itu, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula pada 2 Mei ini kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.

Lima pasukan itu dan Melaka diwajibkan menyerahkan dokumen/pelan yang menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019 dan bukti serta dokumen yang menunjukkan semua tunggakan hutang telah diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada pengumuman itu dibuat, iaitu pada atau sebelum 5 petang 22 Mei ini kepada MFL.

Kegagalan berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan akan dikenakan pemotongan sebanyak tiga mata.