Selepas dua musim beraksi dalam Liga Perdana, Kelantan FA memasang impian mahu kembali bersaing dalam saingan Liga Super pada tahun 2021dan menjulang satu piala musim ini.

Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW), Sdn Bhd, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, berkata sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan komitmen semua pihak termasuklah persiapan rapi pasukan sepanjang aksi pra musim yang diadakan.

"Berdasarkan penilaian akhir daripada ketua jurulatih (Yusri Che Lah), kita telah memilih empat pemain import yang mampu membentuk persefahaman dengan pemain tempatan iaitu Cristopher Jackson (Liberia), Odili Felix Chidi (Nigeria), Kang Seung Jo (Korea) dan Masaki Watanabe (Jepun).

"Jackson dan Felix di posisi serangan, Kang bahagian tengah serta Watanabe di posisi pertahanan.

"Tidak cukup dengan itu, kita membawa pulang dua anak Kelantan, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria (Pahang), Nazrin Nawi (Melaka) dan Mohamad Faredzuan Kamarudin (Kuala Lumpur) dalam usaha memantapkan lagi pasukan ini.

"Dengan 'ramuan' ini, saya yakin dan percaya sasaran yang TRW Sdn. Bhd tetapkan itu mampu dicapai,"katanya pada Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Kelantan 2020 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Rakemi juga mengesahkan Kelantan tetap menggunakan jersi warna Merah sebagai jersi utama sepanjang mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) hujung bulan ini.

"Untuk jersi, kami bekerjasama dengan PUC dan bersetuju untuk menggunakan warna putih, hitam dan biru.

"Dan hari ini, kami sebagai 'Pahlawan Merah' tetap menggunakan warna Merah sebagai jersi utama kerana ini adalah darah Kelantan kita," tambahnya.