Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengadakan pertemuan dengan syarikat minuman susu kultur probiotik, Yakult, bagi membincangkan prestasi pemain import tajaan mereka, Yuta Suzuki, malam ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata beliau akan berjumpa dengan wakil syarikat berkenaan bagi membincangkan prestasi Suzuki yang kurang memuaskan sejak menyertai The Red Warriors (TRW) awal bulan ini.

"KAFA telah menghantar laporan prestasi pemain tengah kelahiran Jepun itu kepada Yakult untuk diteliti dan diambil tindakan selanjutnya.

"Kami harap mereka (Yakult) dapat mempertimbangkan laporan kami dan membuat keputusan yang menguntungkan semua pihak," katanya.

Bagaimanapun, Bibi Ramjani enggan mengulas lebih lanjut isu (laporan) tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada pihak Yakult untuk memberikan jawapan.

"Hanya mereka yang boleh memberi jawapan mengapa Suzuki yang juga bekas pemain kelab Phnom Phen Crown FC ( PPCFC) itu dipilih dan ditaja untuk menyertai TRW musim ini."

Bibi Ramjani juga menjelaskan setakat ini TRW masih memerlukan seorang lagi pemain bagi melengkapkan kuota empat pemain import yang dibenarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Kami sudah menandatangani kontrak dengan dua pemain kelahiran Brazil, iaitu Cassio De Jesus, yang beraksi di bahagian pertahanan dan Flavio Beck Junior di posisi tengah.

"Suzuki juga bermain di bahagian tengah dan selepas tiga perlawanan persahabatan, dia masih tenggelam dan gagal menunjukkan sebarang keistimewaan untuk membantu TRW," katanya.

Kredit Foto: Hazmi Hussin Muda