Walaupun menganggap ia tugas berat, pengurus baharu Sang Badak, Datuk Juil Nuatim, berjanji akan memberikan yang terbaik dalam membentuk semula pasukan itu.

Dengan keadaan pasukan yang kini berada dalam kedudukan getir dalam saingan liga, Juil menegaskan tugas untuk membawa semula skuad itu ke landasan sebenar tidak mustahil sekiranya semua pihak bekerjasama, termasuk penyokong.

"Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Musa Aman) kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi pengurus pasukan ini.

"Ia bukan tugas mudah dan kami juga bukan ada keajaiban, namun, kami berjanji akan cuba yang terbaik untuk membina semula kekuatan pasukan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata sasaran utama pasukan itu ketika ini ialah untuk keluar serta menjarakkan diri daripada zon penyingkiran untuk memastikan skuad kendalian Jelius Ating itu terus kekal bersaing dalam Liga Perdana, musim depan.

"Saya harap pemain juga akan lebih fokus dan menguatkan lagi semangat berpasukan serta benar-benar komited dengan tanggungjawab mereka sebagai pemain," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut bersetuju dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, yang menuntut Jelius dan Burhan Ajui (penolong jurulatih) diberi peluang dan masa untuk membina semula kekuatan pasukan.

"Kita, khususnya penyokong, perlu sabar dan tidak terlalu mengharapkan perubahan akan berlaku dalam sekelip mata.

"Apapun, saya percaya kalau kita dapat satukan komitmen kita sebagai pemain, pengurus, jurulatih, pengurus dan penyokong, pasukan ini boleh berubah menjadi lebih baik," katanya.

Baru-baru ini, Musa yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mengumumkan Juil, Jelius dan Burhan masing-masing dilantik sebagai pengurus, ketua jurulatih dan penolong jurulatih.

Ia susulan prestasi buruk pasukan itu di bawah kendalian Steve Vilmiaire dan Adlane Messelem selaku pengurus.

Sabah kini berada di kedudukan kedua tercorot liga selepas hanya mengutip empat mata daripada lapan perlawanan setakat ini.

Bagaimanapun, Sabah berjaya melangkah ke suku akhir saingan Piala FA yang akan diadakan secara timbal balik bertemu pendahulu Liga Perdana, Negeri Sembilan.