Pengurus PDRM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, mahu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengkaji semula hukuman hanya membabitkan sekatan perpindahan ke atas skuad The Cops apabila berasakan tindakan berkenaan mampu 'membunuh' perjuangan pasukan itu musim ini.

Skuad Sang Saka Biru itu kini sedang bergelut di dasar Liga Perdana dengan hanya satu kemenangan daripada sembilan perlawanan.

Mengalami siri kekalahan dalam aksi awal liga, juara Liga Perdana 2014 itu mula mempamerkan kebangkitan awal bulan ini menerusi rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan terakhir.

Meskipun menunjukkan peningkatan prestasi, skuad kendalian E. Elavarasan itu masih memerlukan penambahbaikan dalam jendela perpindahan kedua bermula 2 Mei ini.

"Kami berharap maklum balas diberikan selepas menghantar rayuan kepada MFL kerana kami sedang dalam proses meningkatkan semula pasukan ini. Beraksi di bawah kendalian Elavarasan, PDRM mula menampakkan persembahan yang mantap," katanya.

PDRM adalah antara lima pasukan yang dikenakan denda sekatan perpindahan oleh MFL kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.

Ia susulan kegagalan mereka mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan 31 Disember lalu bersama dua lagi pasukan, Felda United dan Melaka.

Tujuh pasukan terbabit keseluruhannya dikenakan hukuman pemotongan geran tahunan sebanyak 50 peratus dan diberi tempoh tujuh hari untuk membuat rayuan.

"Kami berharap denda yang dikenakan dapat dikurangkan kerana pasukan amat memerlukan geran tahunan ini," kata Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman.