Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tampak tidak pernah jemu membuat perubahan apabila setiausaha agungnya, Nokman Mustaffa, mendedahkan pihaknya ada melakukan rundingan dengan Irfan Bakti Abu Salim untuk membawa bekas jurulatih Terengganu itu membimbing skuad Warga Kota musim depan.

Skuad Kuala Lumpur muncul pasukan yang paling banyak membuat pertukaran jurulatih musim ini.

Ia bermula dengan pelantikan Chong Yee Fatt sebagai pengganti Yusri Che Lah, Mac lalu, sebelum Yee Fatt pula digantikan Rosle Md Derus bulan lalu.

Begitupun, situasinya tetap sama apabila skuad Kuala Lumpur masih dibelenggu prestasi buruk menerusi rentetan kekalahan perlawanan demi perlawanan.

Nokman mengakui KLFA tiada pilihan selain kecuali sekali lagi melakukan pertukaran jurulatih demi kebaikan pasukan menjelang musim baru liga.

"Kami telah mendapatkan pandangan daripada Irfan. Beliau memiliki pengalaman yang baik dalam saingan liga tempatan sementara kami sedang berbincang untuk mendapatkan khidmatnya," kata Nokman.

Selain Irfan selaku calon hangat untuk mengemudi The City Boys, bekas jurulatih, Fabio Maciel, juga berada dalam radar walaupun KLFA pernah tawar hati menggunakan jurulatih import, musim lalu.

"Pengendali luar negara memiliki kualiti tersendiri tetapi mereka harus menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak di Malaysia. Kami juga sedang meneliti beberapa jurulatih tempatan untuk mengambil alih Kuala Lumpur."