Pemain sayap PKNP FC, Mohd Hafiz Ramdan, optimis dia akan pulih bagi membantu pasukannya mengharungi baki tiga perlawanan penting Liga Perdana dan Piala Malaysia apabila kancah bola sepak bersambung selepas Sukan SEA Kuala Lumpur.

Hafiz patah dua tulang bahu ketika perlawanan liga menentang Kuala Lumpur di Stadium Selayang Jumaat lalu sehingga dikejarkan ke Hospital Selayang sebelum dibawa balik ke Ipoh untuk menjalani pembedahan keesokannya.

"Doktor kata tempoh pemulihan empat hingga ke lima minggu," ujar Hafiz.

"Cuma untuk berlatih seperti biasa, itu saya tidak pasti. Kena lihat dahulu bagaimana perkembangannya.

"Tetapi, apa-apa pun saya sendiri menyasarkan akan pulih dalam tempoh sebulan sebab saya tetap mahu menyumbang kepada pasukan."

Menceritakan insiden itu, Hafiz berkata: "Masa itu saya mahu melakukan sepakan tetapi pemain Kuala Lumpur, Zafri Yahya, terlanggar kaki saya lalu menyebabkan saya terpusing dan terjatuh.

"Saya berasa sesuatu tidak kena. Apabila memegang bahu, terasa tulang seperti terkeluar.

"Semasa menunggu rawatan susulan di hospital, telefon bimbit tidak terlepas daripada tangan kerana saya mahu tahu keputusan perlawanan."

Hafiz, yang sedang berehat di kampung halamannya di Batu Kurau, Perak, reda dengan ketentuan takdir.

"Jika tersurat tidak sempat sembuh sepenuhnya, saya akan tetap berdoa agar rakan dan pasukan berjaya."