Empat gol jaringan Hadi Fayyadh Abdul Razak dalam saingan Piala Sanix yang berakhir semalam, tampak menarik perhatian beberapa kelab Liga J terhadap penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) II itu.

Bagi Hadi , ia menjadi cita-citanya untuk beraksi dalam saingan Liga J dan dia sudah bersedia mengambil langkah besar dalam kerjaya untuk berkelana ke Jepun.

Pemain berasal dari Tanjung Malim itu juga sedia mempertimbangkan tawaran lebih rendah daripada gaji dalam saingan Liga Malaysia untuk meraih pengalaman di Jepun.

"Saya sanggup untuk menerima gaji yang rendah di Jepun kerana saingan di Jepun adalah tinggi berbanding di Malaysia," katanya.

Empat kelab Liga J yang memantau kelibat Hadi dalam Piala Sanix ialah Sagan Tosu, Vessel Kobe, Avispa Fukuoka dan FC Tokyo.

Minat empat kelab itu terhadap Hadi disuarakan sendiri kepada Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada.

"Skuad kebangsaan Malaysia telah memberikan saingan yang sengit dalam Piala Sanix. Beberapa kelab telah memantau pemain nombor 10 Malaysia, iaitu Hadi Fayyadh, yang menyifatkan dia memiliki potensi besar untuk terus cemerlang," kata Hamada.

Hamada akan memaklumkan sendiri kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika ada antara empat kelab itu sedia menawarkan kontrak kepada Hadi.

Hamada turut mengesahkan Yakult sedia membawa skuad remaja negara ke saingan Piala Sanix tahun depan selepas penganjur kejohanan turut berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan skuad kendalian Bojan Hodak itu kali ini.

Hadi dan Hamada ditemui ketika Yakult membawa pemain itu dan rakan sepasukan, Shivan Pillay Asokan, melawat ibu pejabat Yakult di Tokyo, hari ini.