Gelanggang lawan bukan alasan - Shukor

By Willie Jude 14 April 2018 298
Gelanggang lawan bukan alasan - Shukor
Kapten Felda United, Shukor Adan, tidak mahu menjadikan beraksi di gelanggang lawan sebagai alasan mereka tidak mampu bermain dengan baik.

Kunjungan mereka ke Stadium Likas, Kota Kinabalu untuk bertemu Sabah, malam ini, adalah untuk memenangi perlawanan itu dan seterusnya mengukuhkan kedudukan mereka di takhta liga.

"Daripada enam perlawanan setakat ini, empat adalah di gelanggang lawan manakala dua lagi di gelanggang sendiri dan kami memenangi kesemua perlawanan itu.

"Kami akan buat yang terbaik dan sudah pastinya kami mahu mencipta kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan, seterusnya mencerahkan misi layak ke Liga Super, musim depan," katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Terdahulu, pengendali Felda United, B. Sathianathan, tidak memandang mudah cabaran Sabah, sebaliknya menyifatkan pasukan berkenaan antara yang terkuat dalam saingan Liga Perdana, musim ini.

Baginya, skuad kendalian Jelius Ating itu telah menunjukkan peningkatan ketara dan mahu anak buahnya lebih berhati-hati bertemu pasukan itu.

"Sabah memiliki skuad yang kuat, pertahanan mereka yang terbaik dalam liga setakat ini dan juga menjaringkan gol yang banyak selepas kami. Bagi saya, Sabah sepatutnya bermain dalam liga yang lebih atas.

"Bagaimanapun, kami akan melakukan yang terbaik untuk perlawanan malam nanti walaupun persiapan kami agak kurang. Saya yakin anak buah saya mampu memberi tentangan hebat kepada Sabah," ujar Sathianathan.

Dia juga menambah jadual perlawanan yang padat menjejaskan sedikit persiapan mereka, namun sudah biasa dengan keadaan itu.

"Kami terpaksa mengharungi tujuh perlawanan dalam masa tiga minggu, pemain lebih banyak melakukan pemulihan berbanding persiapan taktikal.

"Bagaimanapun, saya yakin dengan kesemua pemain kerana bagi saya, istilah pemain simpanan itu tiada, saya mahu kesemua pemain bersedia untuk mengharungi mana-mana perlawanan."

About Author

Willie Jude

Comment