Felda perlu gandakan usaha untuk bergelar juara

By Bernama 9 June 2018 1247
Felda perlu gandakan usaha untuk bergelar juara
Skuad Felda United perlu menggandakan usaha jika mereka benar-benar berazam untuk merangkul gelaran juara Liga Perdana musim ini.

Ketua jurulatihnya, B. Sathianathan, berkata masih terdapat beberapa kelemahan dalam skuad bimbingannya yang boleh diperbaiki untuk mencatat sekurang-kurangnya tiga kemenangan bagi menjarakkan mata daripada pasukan di tangga kedua.

"Kejuaraan Liga Perdana semakin hampir tetapi ia masih belum boleh dicapai oleh Felda United.

"Permainan bola sepak sekarang tidak sama seperti dahulu, di mana pemain-pemain perlu sentiasa berusaha keras untuk mengutip mata," katanya selepas perlawanan menentang Terengganu FC II di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, semalam. 

Dalam perlawanan itu, The Fighters menundukkan pasukan pelawat 3-2 untuk membawa pulang tiga mata berharga.

Mengulas aksi bertemu Terengganu FC II, Sathianathan berkata anak buahnya bermula dengan baik sebelum ia tidak berapa menjadi pada 30 minit terakhir babak pertama sehingga menyebabkan gawang Felda United dibolosi oleh Bruno Junichi Suzuki.

"Dalam separuh masa kedua, pemain dilihat lebih tenang dan melakukan hantaran dengan baik, berbeza dengan babak pertama yang menyaksikan kami tidak banyak bergerak.

"Namun, saya gembira kami mendapat tiga gol walaupun sepatutnya lebih banyak jaringan boleh dijaringkan," katanya. 

Sathianathan juga memuji aksi pemain lawan yang hanya tewas tipis, yang menunjukkan mereka memiliki semangat juang tinggi untuk memberi saingan. 

Sementara itu, pengendali Terengganu FC II, Mustaffa Kamal Abdul Wahab, mengakui kecewa dengan kekalahan anak buahnya kerana telah mendahului pada awal permainan. 

"Kita sudah mendahului tetapi Felda United berjaya mencatat kemenangan akibat kecuaian di bahagian pertahanan.

"Gol pada minit ke-46 yang dijaringkan oleh Christie Jayaseelan adalah titik kebangkitan mereka dan akhirnya kami gagal mengutip sebarang mata," ujarnya.

Mustaffa Kamal berkata pasukannya perlu berusaha 200 peratus dalam lima perlawanan terakhir selepas ini untuk memastikan mereka tidak tersingkir daripada saingan Liga Perdana musim depan.
 

About Author

Bernama

Comment