Felcra tarik diri dan UKM FC belum pasti. Itu keputusan diterima Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas tarikh tutup penyertaan Liga Malaysia (Liga M) yang ditetapkan berakhir semalam, yang menyaksikan jumlah penyertaan pasukan dalam Liga Super kini tergantung kepada 11 pasukan sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam, telah menerima surat penarikan diri Felcra FC pada jam 5 petang semalam sementara UKM FC meminta penangguhan ekoran belum mendapat kata putus pengurusan tertinggi pasukan.

Menurutnya, ketiadaan Felcra itu diterima sebulat suara dan cuma mengenai status UKM, Kevin menyerahkannya kepada lembaga pengarah untuk membuat keputusan sama ada mahu menerima permohonan pasukan institusi pengajian tinggi itu.

Ini kerana pihak MFL telah memberikan satu tempoh yang lama dan ia bukan sesuatu yang adil buat pasukan yang telah mengikuti tarikh akhir yang ditetapkan.

"MFL mengambil serius tarikh akhir setelah tempoh panjang yang diberikan.

"Dalam kes ini, setiap pasukan diberikan tempoh selama empat minggu dan pada masa sama, kami memberikan peringatan sepanjang proses itu.

"Oleh itu, tiada alasan mengapa terdapat pasukan yang menghantar surat pada saat-saat akhir pada hari terakhir pengesahan penyertaan Liga M," kata Kevin.

Mengenai pengganti Felcra, MISC-MIFA menjadi calon berpotensi untuk naik ke Liga Super berdasarkan kedudukan mereka di belakang Felcra selain lulus pelesenan kelab.

MFL, bagaimanapun, tetap akan menilai dahulu laporan kewangan dan perancangan masa depan MISC-MIFA sebelum membuat sebarang keputusan.

"Kami telah menghantar surat kepada MISC-MIFA hari ini supaya menyerahkan beberapa dokumen, termasuk perancangan dan sumber-sumber kewangan mereka pada masa akan datang.

"Kami akan menganalisis semua aspek ini, sudah tentu kelebihan di pihak MISC-MIFA," tambah Kevin.

Sementara itu, penolong jurulatih Felcra, Roslee Md. Derus, pasrah dengan keputusan majikannya sambil menganggap apa byang erlaku sebagai antara kekecewaan terbesar dalam kariernya.

Setelah berhempas-pulas untuk muncul naib juara Liga Perdana, hajat mereka untuk mengharungi prestij Liga Super berkubur begitu sahaja ekoran faktor kewangan.

"Para pemain telah memberikan yang terbaik seperti berkorban daripada segi komitmen dan masa tetapi apabila mencapai matlamat itu, akhirnya hajat itu tidak kesampaian.

"Inilah bola sepak, kami hanya merancang tetapi yang tentukan hala tuju adalah pihak yang mempunyai jawatan lebih tinggi daripada kami," ujarnya.

Apa yang menjadi kebimbangan utama Roslee ketika ini ialah kemungkinan besar ramai pemain Felcra bakal menganggur ekoran kebanyakan pasukan lain sudah tiada lagi kekosongan.

"Kemungkinan kebanyakan pemain dan barisan kejurulatihan akan hilang pekerjaan.

"Perkembangan ini sesuatu yang negatif buat bola sepak selepas kami berjuang pada musim ini," tambahnya.