Kapten Felcra FC, Shahrom Kalam, menyeru rakan sepasukan supaya menilai kembali prestasi semasa masing-masing, yang masih belum di tahap diinginkan selepas hanya meraih satu kemenangan dalam lima aksi Liga Perdana musim ini.

Felcra setakat ini hanya meraih satu kemenangan, iaitu ke atas Sarawak, dengan keputusan terbaru berdepan UiTM FC pada Sabtu lalu hanya berakhir dengan seri 1-1.

Selepas lima perlawanan, Shahrom sendiri menganggap aksinya yang telah ditampilkan selama ini belum memuaskan.

Jika dilihat perlawanan terbaru menentang UiTM, Felcra sememangnya tiada masalah dalam mencipta peluang untuk menyerang tetapi penyudah yang gagal disempurnakan menjadi kelemahan ketara walaupun mereka menguasai perlawanan dalam babak kedua.

"Kami gagal meraih kemenangan dalam perlawanan berdepan UiTM. Sentuhan penyudah pasukan masih banyak yang perlu diperbaiki," katanya.

Shahrom yang mula menyertai Felcra musim ini dilihat agak tenggelam tetapi tidak menganggap itu satu masalah kerana masih mempunyai masa bagi terus membantu pasukan, dengan aksi seterusnya adalah berdepan UKM FC pada 29 Mac ini.

"Bersama Felcra adalah satu cabaran berbeza buat saya kerana pasukan ini rata-rata adalah pemain-pemain muda. Saya akan terus berusaha membantu pasukan ini untuk cemerlang dalam saingan Liga Perdana."