Timbalan Setiausaha Agung 2, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Andrew Laban, berkata kehadiran Datuk Peter Anthony sebagai presiden mampu menyelamatkan persatuan itu yang kini agak tenat.

Andrew menjelaskan bahawa keadaan SAFA kini boleh menjejaskan penyertaan mereka dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

"Tidak dinafikan kemelut dalaman kepimpinan SAFA sebelum ini sangat kami khuatiri dan jika masalah itu gagal ditangani, pasukan Sabah termasuk skuad B-21 dan B19 akan terbatal kelayakan bertanding dalam Liga Malaysia.

"Baru-baru ini, beberapa pemain utama juga telah menghubungi SAFA menyatakan mereka menerima tawaran daripada pasukan lain.

"Namun, dengan adanya Datuk Peter sebagai presiden, saya telah menghubungi mereka semula dan menasihatkan supaya kekal dengan pasukan Sabah," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Andrew yang turut pernah menyarung jersi Sang Badak suatu ketika dulu juga berharap penyokong akan terus memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada pasukan negeri itu serta mendoakan kejayaan mereka.

"Saya harap peminat bola sepak di Sabah juga akan memberi sokongan kepada Datuk Peter sebagai presiden baharu SAFA kerana saya yakin beliau adalah calon yang sangat layak untuk menerajui persatuan," tambah Andrew.