Presiden Melaka United, Dato Seri Ir. Idris Haron, menghadiahkan sebanyak 30,000 tiket percuma sempena perlawanan terakhir Liga Perdana di antara Melaka United dan Sime Darby di Stadium Hang Jebat pada 22 Oktober ini.

Berita gembira itu diumumkan di laman sosial Facebook rasmi Melaka United Soccer Association (MUSA).

Pemberian 30,000 tiket itu juga sebagai salah satu penghargaan kepada penyokong Melaka United yang tetap menyokong skuad Hijau Putih itu tanpa mengenal erti penat-lelah.

Menyentuh mengenai perlawanan menentang Sime Darby, kalah atau menang, Melaka United akan menjulang trofi Liga Perdana pada malam tersebut sejak kali terakhir menjuarai Liga Malaysia pada tahun 1983.

Perlawanan itu juga bakal dihiasi pertunjukan bunga api secara besar-besaran sebagai simbolik meraikan Melaka United sebagai juara Liga Perdana 2016.

“Pengagihan 30,000 keping tiket tersebut akan kami beritahu di Facebook kami dari semasa ke semasa,” kata wakil pegawai media MUSA, Azizi Sharil Abd Razak.