Pengarah Sukan Borussia Dortmund, Michael Zorc, percaya Christian Pulisic tidak akan mengalami sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan bakal meraih kejayaan bersama Chelsea.

Chelsea mengesahkan mereka telah menandatangani Pulisic dengan yuran perpindahan EURO64 juta (RM300 juta), namun pemain sayap itu akan kekal beraksi bersama Dortmund secara pinjaman sehingga penghujung musim 2018-19.

Pemain berusia 20 tahun itu telah mempamerkan peningkatan mendadak sejak menyertai Dortmund pada 2015 dan Zorc tidak bimbang dengan kebolehannya untuk menyerlah dalam saingan EPL.

"Pulisic adalah seorang pemain yang memiliki tahap keyakinan yang tinggi," kata Zorc.

"Perwatakan yang dimiliki Pulisic akan membantunya untuk mempamerkan aksi berkualiti di England.

"Dia seorang pemain yang pantas dan mahir menggelecek bola. Saya tidak memiliki sebarang sebab mengapa dia tidak akan berjaya di sana.

Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, berkata beliau tidak memiliki maklumat penuh mengenai tawaran untuk Pulisic hingga ia telah disempurnakan, namun Zorc mendedahkan perbincangan bersama The Blues telah dilakukan sebelum ini.

"Kami telah mengambil keputusan sebulat suara dengan semua pihak bahawa kelab akan menjualnya pada musim panas 2019 jika dia enggan melanjutkan kontrak bersama Dortmund," tambah Zorc.

"Keputusan ini telah dilakukan dan dimaklumkan sejak beberapa bulan lalu. Perbincangan bersama Chelsea baru-baru ini bukanlah faktor utama penghijrahan pemain tersebut."