Ejen Zlatan Ibrahimovic, Mino Raiola, mendakwa penyerang berpengalaman itu telah mengugut untuk "mematahkan kakinya" jika dia membenarkan Paul Pogba untuk berhijrah ke kelab lain selain dari Manchester United.

Raiola, yang mewakili kedua-dua pemain United tersebut, mendedahkan bahawa Zlatan tidak akan gembira jika pemain kebangsaan Perancis itu tidak menyertai United.

Selepas spekulasi media yang berpanjangan, Raiola akhirnya mengaut keuntungan besar dalam sejarah bola sepak apabila Pogba berpindah dari Juventus ke Manchester United dengan yuran perpindahan mencecah GBP89 juta (RM475 juta).

Namun, Raiola menegaskan Ibrahimovic -- yang memiliki tali pinggang hitam dalam taekwondo -- memberi amaran kepadanya sebelum perpindahan itu termeterai.

"Zlatan beri amaran 'Jangan benarkan Pogba berhijrah ke kelab lain, kalau tidak saya akan patahkan kaki kamu'," kata Raiola.

Pogba menerima kecaman susulan gagal mempamerkan aksi mantap bersama United, namun akhirnya meledak gol pertama musim ini apabila The Red Devils merekodkan kemenangan besar 4-1 ke atas Leicester City pada Sabtu.

Bagaimanapun, Raiola berasakan kliennya itu tidak bermain di posisi yang sepatutnya.

"Pogba masih belum menemui posisi sebenar dalam pasukan. Saya rasa dia lebih sesuai beraksi di bahagian kiri," tambahnya.

"Dengan kekuatan yang dia miliki, saya yakin tiada sesiapa mampu menandinginya tetapi pengendali, Jose Mourinho, telah membuat keputusan."