WEST BROM 0 MANCHESTER UNITED 2

Jose Mourinho memberitahu penyerang Zlatan Ibrahimovic telah membuktikan dirinya adalah 'superman' selepas mempamerkan prestasi yang mantap untuk Manchester United.


Pemain berusia 35 tahun itu telah meledak 16 gol dalam semua pertandingan buat United selepas menjaringkan dua gol ketika menewaskan West Brom dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Mourinho mengakui beliau mengagumi komitmen yang dipamerkan oleh bekas pemain Barcelona dan Inter, walaupun menghampiri peringkat akhir kariernya.

"Saya sangat gembira untuk Zlatan," katanya kepada BBC Sport.

"Dia merupakan seorang pemain yang tidak peru membuktikan apa-apa kepada orang lain tetapi dia memilih untuk ke England sebagai destinasi terakhir dalam kariernya untuk bersaing di dalam liga yang paling sukar, saya berpendapat dia telah membuktikan dia memiliki mentaliti seperti 'superman'.

"Apa yang telah dilakukannya amat menakjubkan. Pada usia 35 tahun, dia telah membuat mana-mana penyerang berusia 25 tahun mengagumi apa yang telah dilakukan oleh Zlatan."

United kini telah menghabiskan 10 perlawanan tanpa tewas dan menyamai mata yang dikumpulan oleh Tottenham selepas meraih sembilan mata dalam tiga perlawanan liga.

"Kami telah memenangi tiga perlawanan berturut-turut, sangat penting buat kami untuk mengekalkan momentum ini."