Pemain tengah Manchester United, Ander Herrera, percaya Zlatan Ibrahimovic akan menghantui Southampton dalam aksi final Piala EFL.

Sasaran United untuk merebut gelaran 'treble' bermula dengan aksi berdepan The Saints di Wembley esok, dan Ibrahimovic bakal menjadi perancang utama pengendali pasukan, Jose Mourinho.

Ibrahimovic telah membuktikan usianya bukan penghalang, malah menutup mulut pengkritiknya dengan 24 gol dalam semua pertandingan, termasuk 15 gol bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Herrera amat mengagumi prestasi yang dipamerkan oleh bekas pemain kebangsaan Sweden itu di samping percaya Ibrahimovic mampu membawa United meraih kejayaan di London.

"Dia merupakan sasaran buat kami," ujar Herrera. "Dia seorang pemain yang tinggi, mampu mengawal bola dengan baik dan dia mampu membantu pasukan seperti yang dilakukannya ketika bertemu Blackburn.

"Mana-mana pertahanan pasukan lawan gerun ketika berdepan dengannya dan ia merupakan kelebihan buat kami. Kami memiliki lebih banyak ruang untuk mencipta jaringan. Dia merupakan antara pemain terbaik di dunia.

Sejak tewas kepada Fenerbahce dalam Liga Europa pada 3 November, United hanya tewas sekali kepada Hull City dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala EFL dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah sebanyak 16 perlawanan liga.

"Ketika Blackburn Rovers menjaringkan gol (dalam aksi pusingan kelima Piala FA), kami tidak bertindak di luar kawalan, kami terus bermain, mengawal permainan dan cuba menghasilkan gol. Kami sangat yakin dengan gaya permainan kami dan membuktikan bahawa kami sukar untuk ditewaskan."