Bekas pemain pertahanan Chelsea, Marcel Desailly, memberitahu John Terry bahawa zamannya di Stamford Bridge sudah berakhir sambil memuji pemain berusia 36 tahun itu kerana dapat menyesuaikan diri dengan peranan baru.

Terry bukan lagi pemain utama di Chelsea di bawah kendalian Antonio Conte apabila hanya membuat lima kemunculan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Pemain pertahanan itu mengingatkan Desailly ketika dia masih bergelar pemain The Blues dan berasakan Terry patut memutuskan untuk bersara atau berhijrah.

"Saya berpindah kerana pemain lain lebih pantas daripada saya, lebih bagus dan ia waktu untuk saya pergi -- masa untuk mereka menyerlah -- dan sekarang tiba masa untuk Terry pula," kata Desailly kepada Sportsmail.

"Bagus melihat bagaimana dia menangani situasi itu. Dia merupakan ketua pasukan tapi anda perlu memberi laluan kepada pemain yang lebih sesuai dengan taktikal permainan tapi dia masih bertahan dan kekal fokus.

"Dia akan mengingatkan pemain lain yang tidak menjalani latihan dengan baik. Ia merupakan peranan kecil penting yang digalas oleh John. Saya gembira kerana ia merupakan fasa berbeza buat John.

"Bukan sahaja seorang pemimpin pilihan utama, malah seorang pemimpin untuk pilihan kedua. Dia berada di sana untuk memberi perangsang kepada pasukan dan ia pendekatan berbeza oleh John.

"Dia seorang pemain yang bagus kerana memberi tekanan hebat kepada pemain pilihan Conte, iaitu Kurt Zouma atau Gary Cahill.

"Dengan kehadiran John Terry di bangku simpanan, saya boleh katakan pemain lain perlu membuktikan kemampuan mereka kerana sedar tempat mereka boleh dirampas olehnya pada bila-bila masa."

Kontrak Terry akan berakhir pada penghujung musim ini.