Wilfried Zaha tidak berhajat untuk meninggalkan Crystal Palace dalam jendela perpindahan Januari walaupun dikaitkan dengan beberapa pasukan seperti Arsenal dan Manchester City.

Zaha mempamerkan prestasi mengagumkan ketika Palace menamatkan rekod 18 kemenangan City dalam Liga Perdana Inggeris, dengan skuad The Eagles itu mengikat pendahulu liga itu 0-0 di Selhurst Park, malam tadi.

Dan Palace sepatutnya mendapat keputusan lebih baik jika Luka Milivojevic berjaya menyudahkan sepakan penalti selepas Raheem Sterling dipersalahkan mengasari Zaha pada masa kecederaan.

Walaupun Palace berdepan masalah musim ini, Zaha menjadi tonggak harapan menerusi prestasinya dan ia membawa kepada perkaitan dengan pasukan atasan dalam liga.

Roy Hodgson mendapat jaminan bahawa pemain berusia 25 tahun itu tidak akan dijual dan penyerang berkenaan mengulangi komitmennya terhadap The Eagles.

Apabila ditanya oleh BBC sama ada akan kekal bersama Palace, dia menjawab: "Ya, saya."

Dan Zaha berharap satu mata menentang City boleh menjadi batu loncatan untuk Palace berada di kedudukan baik pada 2018.

"Ia penting untuk keyakinan kami," katanya. "Saya tahu betapa berbakatnya pasukan ini dan jika kami fokus, kami boleh melakukan tugas dengan baik di padang.

"Kami bekerja keras untuk mendapatkan mata. Terdapat pemain berbakat dalam pasukan dan kami boleh mendapatkan tiga mata.

"Kami perlu terus bermain seperti menentang Manchester City," katanya.