Pablo Zabaleta menegaskan rakan sepasukannya, Sergio Aguero, memiliki kekuatan mental untuk menangani situasi kurang senangnya berikutan kehilangan tempat dalam kesebelasan utama Manchester City.

Aguero mendapati dirinya terpinggir daripada perancangan utama Pep Guardiola kerana kebelakangan ini, bos City itu memilih Gabriel Jesus untuk mengetuai jentera serangan dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Selepas diletakkan di bangku simpanan dalam kemenangan 2-1 ke atas Swansea City minggu lalu, Aguero -- yang mencetak 11 gol musim ini -- gagal menjamin masa depannya di Stadium Etihad.

Begitupun, rakan senegaranya dari Argentina, Zabaleta, tidak gusar dengan perkembangan tersebut dengan berkata, "Dia pasti tidak apa-apa, dia seorang yang matang.

"Sebelum ini, kami memiliki Carlos Tevez, Mario Balotelli, Edin Dzeko dan Kun Aguero.

"Ini bukan kali pertama dia direhatkan. Kami memerlukan skuad yang mantap untuk memenangi kejuaraan."

Guardiola cenderung dengan formasi 4-3-3 musim ini dan ini bermakna Aguero dan Jesus perlu bersaing untuk merebut peranan mengetuai barisan serangan.

Zabaleta mengakui situasi itu bermakna hanya ada satu posisi untuk direbut.

"Sudah tentu kalau pengurus mahu meletakkan kedua-duanya, mereka boleh bergandingan," tambah Zabaleta.

"Tapi kami sedang menggunakan formasi 4-3-3 dengan seorang penyerang tengah ditemani dua pemain sayap. Sebab itu hanya salah seorang yang akan terpilih."