Pep Guardiola menyifatkan Pablo Zabaleta sebagai salah seorang pemain yang paling penting dalam sejarah Manchester City.

Pada Sabtu lalu, City mengumumkan Zabaleta akan meninggalkan kelab itu selepas kontraknya bersama The Citizens tamat pada penghujung musim ini, menamatkan sembilan tahun bersama pasukan.

Zabaleta menyertai City daripada Espanyol pada Ogos 2008, sebelum kelab itu diambil alih oleh Sheikh Mansour.

Zabaleta membuat penampilan sulung dalam saingan Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 3-1 ke atas Chelsea.

Pemain kebangsaan Argentina itu merupakan antara pemain yang penting ketika The Citizens meraih kejuaraan liga pada musim 2011-12 dan 2013-14, malah dia juga pernah menjuarai Piala FA dan dua Piala EFL.

"Zabaleta merupakan pemain yang paling penting dalam sejarah City," kata Guardiola.

"Saya menghormati pemain-pemain serta pengurus yang telah melakarkan banyak kejayaan bersama pasukan. Sembilan tahun merupakan satu tempoh yang sangat panjang dan sukar untuk mendapatkan pengganti mereka.

"Impaknya bersama pasukan amat menakjubkan. Dia merupakan antara pemain terawal ketika pasukan dalam fasa untuk menjadi salah satu pencabar takhta liga."