Woodward sangkal tanggapan tidak berpengetahuan, anggap Solskjaer pengurus tepat 

By Staff Writer 18 October 2019 674
Woodward sangkal tanggapan tidak berpengetahuan, anggap Solskjaer pengurus tepat 
Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward, membidas semula dakwaan menghinakan yang melabel The Red Devils sedang diuruskan orang yang salah selain menegaskan Ole Gunnar Solskjaer merupakan orang yang tepat untuk mengendalikan skuad itu.

United membuat permulaan terburuk mereka dalam kempen liga sejak 1989-90 dengan merakamkan hanya dua kemenangan daripada lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menduduki tangga ke-12 dengan sembilan mata.

Tambahan pula, mereka hanya memenangi enam daripada 23 perlawanan terakhir dalam semua kejohanan -- termasuk kemenangan penentuan sepakan penalti ke atas Rochdale United dalam Piala Liga Inggeris (EFL) -- serta bakal mengalu-alukan musuh ketat dan juga pendahulu liga yang belum belum tewas, Liverpool, ke Old Trafford, malam Ahad ini. 

Menjelang perlawanan yang dinantikan-nantikan itu, Woodward menyeru penyokong agar terus bersabar dan berada di belakang pengurus mereka itu, yang menandatangani kontrak tetap pada Mac lalu, selepas memberi impak besar ketika bertindak sebagai pengurus sementara selama tiga bulan. 

"Pertengahan musim lalu, sejurus ketibaan Ole, dia membawa kesan yang relevan atas apa yang kami ingin capai dan corak permainan kami," katanya dalam pertemuan tahunan bersama kakitangan kelab itu, semalam. 

"Kami melihat sebuah pasukan yang memperagakan permainan pantas dan lancar yang mewakili gaya serta falsafah yang pengurus itu mahukan. 

"Ole juga kembali menanamkan disiplin di persekitaran kelab yang mungkin kami kekurangan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

"Dia sedang membina sebuah skuad yang menghormati sejarah kelab untuk pemain bekerja keras dan menghormati rakan sepasukan mereka. Tiada siapa yang lebih penting daripada kelab ini."

United telah membelanjakan kira-kira £140 juta (RM752.7j) untuk memancing Daniel James, Aaron Wan-Bissaka dan pemain termahal kelab, Harry Maguire, selepas menduduki tangga keenam musim lalu.

Begitupun, juara 13 kali itu melepaskan Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez ke Inter tanpa membawa sebarang pengganti sehingga meninggalkan pilihan terhad buat Solskjaer di bahagian serangan.

Ia mengundang kritikan lebih lanjut mengenai kekurangan pengetahuan bola sepak Woodward, dengan dakwaan bahawa dia lebih memberi perhatian kepada aspek komersial di seluruh dunia berbanding menjadikan United kembali memenangi gelaran.

Menjawab dakwaan tersebut, Woodward berkata: "Realitinya, Manchester United adalah sebuah kelab yang dibahagikan kepada dua bahagian. Yang pertama, kami adalah sebuah institusi bola sepak berusia 141 tahun yang luar biasa yang penuh bersejarah yang menghimpunkan semua legasi, tradisi dan kejayaan.

"Itu hakikat yang tidak boleh diubah. Kami perlu memastikan apa yang perlu dilindungi. Apa yang penting, bahagian komersial tidak akan dibenarkan memainkan peranan utama berbanding pasukan bola sepak.

"Seperti kelab-kelab yang lain, langkah komersail kami ini membolehkan kami untuk melabur semula dalam bahagian bola sepak. Ia adalah tentang bagaimana kedua-duanya saling berinteraksi sehingga membolehkan Manchester United menghasilkan kelebihan kompetitif dalam bahagian ini. 

"Ada khabar angin yang mengatakan bahawa kami tidak mempunyai pengetahuan bola sepak untuk membuat keputusan dan saya fikir ia satu bentuk penghinaan terhadap kebijakan mereka yang bertugas di bahagian pasukan di kelab ini.

"Ramai kakitangan senior di bahagian pasukan telah memainkan peranan mereka selama lebih daripada 10 tahun. Beberapa kakitangan pemantau kami telah bekerja lebih 25 tahun.

"Kami telah meluaskan pengambilan kakitangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan kami percaya ia membolehkan kami bekerja dengan lebih cara yang cekap dan produktif. 

"Cadangan dan keputusan pemain diambil kira oleh jabatan ini, termasuk pengurus pasukan dan kakitangannya, ia bukannya ditentukan oleh pengurusan atasan."

About Author

Staff Writer

Comment