TOTTENHAM 2 WATFORD 1

Fernando Llorente percaya dia sudah bersedia untuk menggalas peranan penggempur utama, Harry Kane, selepas membantu Tottenham melakar kemenangan 2-1 ke atas Watford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri, awal pagi tadi.


Spurs berdepan kekalahan ketiga berturut-turut sehinggalah detik Son Heung-min, yang dimasukkan sekembalinya daripada tugasan dalam Piala Asia 2019, untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-80 selepas Watford mendahului menerusi gol Craig Cathcart dalam separuh masa pertama.

Llorente, yang terlepas beberapa peluang menarik sebelum itu, kemudian menyempurnakan kebangkitan Spurs menjelang tiga minit masa kecederaan apabila menanduk masuk hantaran lintang Danny Rose untuk menghukum Ben Foster.

Dengan Kane terpaksa diketepikan sehingga Mac ini, Llorente berazam untuk mendapat rentak jaringan bagi membuktikan kemampuan dan dia berasakan aksinya semakin mantap.

"Ini adalah tanggungjawab besar," katanya kepada Sky Sports ketika ditanya mengenai peluangnya mengambil peranan Kane. "Saya bersedia membantu pasukan dan akan semakin bagus dalam setiap perlawanan.

"Saya sangat gembira kerana hari ini kami mengharungi perlawanan yang sukar. Untuk membantu pasukan menerusi jaringan kemenangan hari ini sangat penting, lebih-lebih lagi setelah kami tewas dalam dua perlawanan merebut kejuaraan. Kami perlu kembali kepada rentak kemenangan."

Pengurus Watford, Javi Gracia, akur dengan ketidakupayaan pasukannya untuk mempertahankan kelebihan mereka yang boleh dianggap satu kemenangan yang amat memberangsangkan.

Bagaimanapun, dia berasakan bahawa kekecewaan menjadi petunjuk yang bagus mengenai keyakinan dan harapan mereka.

"Kami kecewa kerana kami terlepas beberapa peluang terhidang untuk mendapatkan mata," kata Gracia kepada BBC Sport. "Ia adalah satu petanda yang baik terhadap keinginan diri sendiri bahawa kami dilanda kekecewaan.

"Pihak lawan lebih menguasai permainan tetapi kami bertahan dengan baik, mencipta beberapa peluang dan menjaringkan gol dan kami mempamerkan usaha yang baik.

"Di penghujung perlawanan, kami dibolosi dua gol. Mereka mengubah taktikal dengan mengetengahkan pemain yang gemar menyerang, namun kami juga mempunyai peluang yang menarik."