Wilshere akui akhirnya keluar dari zon selesa

By Sacha Pisani 24 October 2016
Wilshere akui akhirnya keluar dari zon selesa

Jack Wilshere sedang menikmati cabaran beraksi untuk Bournemouth dan jauh dari zon selesa ketika bersama Arsenal sejak kanak-kanak.

Wilshere dipinjamkan ke Bournemouth dan pemain berusia 24 tahun itu menyempurnakan perlawanan penuh buat kali pertama sejak 2014 ketika seri tanpa jaringan dengan pencabar utama takhta liga, Tottenham.

Dibelenggu masalah kecederaan dan gagal mempamerkan prestasi cemerlang, Wilshere berhijrah ke Stadium Vitality selepas kerjayanya mula terbantut di Arsenal -- kelab yang disertainya pada usia sembilan tahun -- dan pemain kebangsaan England itu gembira dengan perubahan yang dialaminya.

"Kadang-kala ketika anda berada di kelab gergasi, dan beraksi bersama mereka sepanjang kerjaya anda, dengan bermain saban minggu, adalah mudah untuk terjerlus ke dalam zon selesa," kata Wilshere.

"Itu sesuatu yang jurulatih dan pengurus sering terapkan kepada anda dan untuk saya datang ke sini dan merasai sisi yang berbeza daripada Liga Perdana di mana anda perlu bertarung untuk segala-galanya, bertarung untuk setiap mata dan bekerja sebagai sebuah pasukan, ia pastinya sesuatu yang di luar zon selesa saya.

"Tapi rakan sepasukan serta pengurus melayan saya dengan baik dan saya sangat teruja untuk mengharungi musim ini."

"Ia satu tempoh yang lama untuk tidak bermain selama 90 minit dan apabila anda bermain satu perlawanan ke perlawanan berikutnya, anda mula mendapatkan kembali keyakinan dan mencuba lebih banyak perkara," tambahnya.

"Saya berasa saya sudah mendapat semula daya pecutan saya dan apabila mendapatnya, saya boleh melakukan lebih banyak perkara dengan bola.Saya tidak mengatakan saya sudah sampai ke tahap itu tapi berasa lebih baik kini."

About Author

Sacha Pisani

Comment